Thursday, 27 June 2013

Ibu saya yang kaya

Kami dibesarkan dalam keluarga yang agak kekurangan dari segi material.Enam adik beradik tanggungan ayah yang bekerja sebagai pembantu makmal di universiti.Ibu membuat nasi lemak dan kuih seperti karipap,lompang dan bengkang.Kemudian bila cukup modal ibu menumpukan sepenuh masa untuk mengambil upah jahit.Hidup serba kekurangan,tapi kami sekeluarga tak pernah mengenal apa itu lapar.Makanan Alhamdulillah sentiasa mencukupi dan sedap-sedap belaka hasil air tangan ibu.Makan di luar- satu yang sangat asing dalam agenda kami apatah lagi bercuti, memang tak pernah pun pergi sekeluarga dek kerana kos yang mahal.

Sewaktu saya masih kecil dengan adik-adik yang sedang membesar,kami tidak mampu membeli kereta.Tapi dalam kesempitan itu pun ayah dan ibu mampu memiliki 2 rumah. Sebuah disewakan, sebuah lagi tempat tinggal kami sekeluarga.Oleh sebab tidak mampu berkereta waktu itu, jadi sebagai kanak-kanak, mana-mana keluarga yang memiliki kereta pada pandangan saya adalah kaya.Status dinilai berdasarkan kereta (kesilapan besar menilai kekayaan - di waktu itu lah).

Sebagai kanak-kanak lazimnya kita bercerita kepada ibu.Topik yang saya bualkan tentulah mengenai kawan-kawan dan keluarga mereka yang 'kaya'.Dengan nada teruja saya bersembang dengan ibu "mak depa tu kaya...ada kereta..ada ini dan itu". Dengan penuh hikmah ibu saya menjawab "Alah..kita pun kaya jugak, rumah kita ada 3 kipas berdiri, ada 3bilik, kita ada 2 dapur...". Ibu berkias dengan benda-benda material dahulu.Kemudia beliau menyambung lagi "Jangan lupa..kita ada 2 tangan, 2 mata, 2 telinga, 2 kaki..apa? Tak kaya lagi ka macam tu".

Bak kata cerdik pandai hari ini, itu adalah paradigma kekayaan yang ibu tanamkan kepada kami. Minda dibawah sedar kami diisi dengan kekayaan yang Allah anugerahkan.Jadi setelah saya dewasa, kekayaan tak pernah menggoda saya.Kerana minda bawah sedar saya tertanam yang saya telah cukup segala-galanya. Harta dan wang bukan matlamat. Itulah hasil didikan ibu. Jadi saya sangat merasakan sepanjang hayatnya ibu saya adalah orang yang paling kaya.Anak-anaknya pula ada 6 orang.

P/s : Walaupun ibu saya seorang yang kaya,tetapi kalau pembaca sudi sedekahkah Al-fatihah buat beliau,tentu beliau bertambah-tambah kaya dan gembira di sana. Al-Fatihah.





No comments:

Post a Comment